BERITA SEMASA

PRN Johor: MetMalaysia ramal hujan, ribut petir landa beberapa kawasan pagi esok

JOHOR BAHRU – Beberapa kawasan di Johor dijangka mengalami hujan dan ribut petir esok ketika pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dipaparkan menerusi laman rasminya hari ini, hujan dijangka berlaku pada sebelah pagi di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Muar, Pontian dan Tangkak.

Bagaimanapun, enam daerah berkenaan diramalkan tidak mengalami hujan pada sebelah petang dan malam.

Sementara itu, daerah Kluang, Kota Tinggi dan Segamat dijangka dilanda ribut petir pada sebelah petang, manakala Mersing diramalkan mengalami cuaca sama bermula petang hingga malam.

Suhu minimum di kebanyakan daerah dianggarkan sekitar 23 darjah Celsius, manakala suhu maksimum antara 33 hingga 34 darjah Celsius.

Esok, seramai 2.7 juta pemilih berdaftar dijadualkan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tempoh berkempen selama 14 hari berakhir.

Sebanyak 1,076 pusat mengundi biasa membabitkan 4,889 saluran akan dibuka bermula jam 8 pagi sebelum ditutup secara berperingkat antara jam 11 pagi hingga 6 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menasihati pemilih supaya membuat semakan lokasi pusat mengundi dan saluran masing-masing lebih awal bagi melancarkan proses pengundian.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding, dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing meletakkan 56 calon, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 33 calon.

Turut bertanding ialah Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia yang masing-masing meletakkan seorang calon, selain enam calon Bebas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button