PRN Johor: Muhammad Faezuddin angkat lima agenda utama bina Kempas inklusif
KEMPAS – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menggariskan lima tekad utama sebagai komitmen untuk membangunkan kawasan berkenaan secara lebih progresif, inklusif dan sejahtera.
Muhammad Faezuddin berkata, lima tekad itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat yang merangkumi aspek pendidikan, kos sara hidup, perumahan, kesihatan serta belia dan sukan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan merupakan pelan tindakan menyeluruh bagi memastikan pembangunan Kempas tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan.
“Tekad pertama iaitu pendidikan lepasan SPM, iaitu tiada anak Kempas yang akan tercicir. Saya percaya setiap anak muda berhak mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, beliau akan memperjuangkan penubuhan Pusat Sehenti Lepasan SPM Kempas bagi membantu pelajar memilih laluan pendidikan dan kemahiran.
“Tekad kedua iaitu kos sara hidup meringankan beban, memperkukuhkan kehidupan. Saya memahami bahawa kos sara hidup merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi rakyat pada hari ini,” katanya.
Menurutnya, program Jualan Rahmah akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan dan PDM di Kempas bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Dalam aspek perumahan pula, beliau berhasrat memperkukuh pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas supaya lebih sistematik, selamat dan kondusif.
“Rumah yang selesa merupakan asas kepada kesejahteraan sesebuah keluarga. Saya akan memastikan proses pemutihan PPR dilaksanakan secara telus dan adil,” katanya sambil menambah kemudahan asas di PPR termasuk lif, bekalan air, elektrik dan kawasan rekreasi akan turut diberi perhatian.
Sementara itu, Faezuddin berkata, aspek kesihatan fizikal dan mental juga akan menjadi keutamaan melalui program komuniti sihat dan kemudahan kesihatan setempat.
“Kesihatan fizikal dan mental merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat. Saya akan memperluaskan program kempas aktif sihat serta menyediakan pemeriksaan kesihatan berkala,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan belia dan sukan akan diperkasakan melalui penubuhan pusat aktiviti belia Kempas serta penganjuran liga sukan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















