POLITIK

Tindakan Mohd Puad tidak jejaskan UMNO – Ahmad Maslan

PONTIAN – Tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menghadiri ceramah Pakatan Harapan (PH) adalah hak peribadi beliau.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan Mohd Puad itu juga dijangka tidak memberi kesan besar kepada UMNO kerana beliau yakin ahli parti kekal setia kepada perjuangan parti.

“Kita tidak nampak Mohd Puad ini mempunyai pengaruh yang besar dimana boleh mempengaharui pengundi khususnya di kawasan DUN Rengit dan Johor keseluruhannya.

“Orang-orang UMNO kekal dengan UMNO, tidak akan mengikut apa yang telah dilakukan oleh Mohd Puad setelah kecewanya anaknya tidak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Benut,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Naga, di sini hari ini.

Ahmad menambah, sekiranya ada impak sekali pun, ia mungkin hanya melibatkan sebahagian kecil pengundi atas pagar dan bukannya penyokong tegar UMNO.

“Oleh itu, pada pandangan saya, Puad ini hanya boleh mempengaruhi sedikit sahaja orang-orang Rengit, kerana apa yang dilakukan oleh Puad telah melanggar prinsip perjuangan UMNO,” kata Ahmad lagi.

Semalam, Mohd Puad yang mengumumkan keluar daripada UMNO pada minggu lalu, dilihat menghadiri sebuah program PH di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau memberi sokongan kepada calon PH di DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Pada program Dialog Terbuka Belia Johor di Ulu Tebrau semalam, Mohd Puad dilihat bersalaman dan berpelukan dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Rengit menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button