PRN Johor: 15 calon BERSAMA tandatangan akujanji, isytihar harta secara bersumpah
PUCHONG – Semua 15 calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 akan mengisytiharkan harta, pendapatan serta perbelanjaan masing-masing melalui Akuan Bersumpah sebagai sebahagian daripada komitmen integriti politik.
Dalam kenyataan hari ini, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, calon-calon terbabit turut bersetuju menandatangani beberapa akujanji tambahan termasuk surat peletakan jawatan bersyarat yang akan dipegang oleh pihak parti.
Antara akujanji tersebut ialah komitmen untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dipecat atau berhenti daripada parti, selain larangan melompat parti sepanjang tempoh perkhidmatan.
BERSAMA turut menetapkan setiap calon menandatangani akujanji berkaitan pemulangan wang deposit kepada parti, pengesahan kelayakan sebagai calon mengikut undang-undang serta pengakuan memberikan maklumat tepat semasa pencalonan.
Parti itu juga memperkenalkan bon penalti berjumlah RM2 juta sekiranya mana-mana calon melanggar akujanji yang ditetapkan termasuk ketetapan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mematuhi disiplin parti.
“Draf enam akuan bersumpah dan pengisytiharan harta ini disertakan untuk rujukan orang ramai.
“Semua 15 calon BERSAMA telah bersetuju menandatangani set akuan bersumpah ini. Semua akuan bersumpah daripada setiap calon dijangka dikemukakan sepenuhnya kepada BERSAMA sebelum pukul 12 tengah hari esok iaitu enam jam sebelum calon-calon diumumkan,” kata kenyataan tersebut.
BERSAMA turut memaklumkan maklumat berkaitan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan semua calon akan dipaparkan secara terbuka di laman rasmi bersama.org bermula pukul 10 malam esok untuk semakan umum.
“Orang ramai dijemput meneliti sendiri latar belakang kerjaya, pendidikan, aktiviti kemasyarakatan serta kedudukan kewangan calon-calon BERSAMA melalui platform tersebut,” katanya.
Pengumuman rasmi calon BERSAMA bagi PRN Johor 2026 pula dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam esok di Paragon Market Place, Johor Bahru bersempena pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
BERSAMA turut menyeru semua parti bertanding supaya mengisytiharkan harta calon masing-masing bagi memperkukuh amalan ketelusan dan integriti dalam politik negara.
Parti itu juga memaklumkan akan mengisytiharkan penyata perbelanjaan serta sumber dana kempen selepas tamat tempoh pilihan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








