BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: Faizul tampil rekod khidmat masyarakat, yakin penerimaan pengundi FELDA semakin positif

PENGERANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N39 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menegaskan kehadiran beliau di Pengerang bukan bermula ketika musim pilihan raya, sebaliknya telah dibina melalui gerak kerja masyarakat, sukan, kesukarelawanan dan khidmat komuniti sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Faizul, suasana penerimaan masyarakat FELDA terhadap PH hari ini juga semakin positif berbanding lima hingga 10 tahun lalu, hasil pendekatan politik khidmat, dialog berterusan dan kesediaan rakyat menilai berdasarkan kerja serta rekod perkhidmatan.

“Dulu, kalau sebut PH di kawasan FELDA, reaksinya berbeza. Ada yang berhati-hati dan ada yang masih memerhati dari jauh.

“Tetapi hari ini, saya melihat sendiri perubahan itu semakin jelas. Masyarakat FELDA semakin terbuka, semakin positif dan semakin menilai berdasarkan kerja, bukan sekadar cerita politik lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Faizul berkata, beliau telah hampir setengah dekad bersama masyarakat Pengerang, antaranya melalui penglibatan dalam kelab bola sepak BAKA FC di Punggai, sebuah kelab bola sepak anak watan Pengerang.

Beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi BAKA FC, bersama pengerusinya yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Johor.

harapan
Faizul menyampaikan sumbangan kepada Pengurus Kelab Bolasepak Tanjung Surat, Md Esa Md Salleh.

Menurutnya, penglibatan dalam sukan akar umbi itu telah membolehkan beliau mendekati anak muda, memahami denyut nadi komuniti setempat dan membina hubungan yang lebih dekat dengan masyarakat Pengerang.

“Di padang bola, kita belajar tentang disiplin, semangat berpasukan dan kesetiaan kepada komuniti. Itulah antara pengalaman yang banyak membentuk cara saya berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Selain sukan, Faizul turut aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pernah terlibat dalam penganjuran kursus Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Kampung Punggai.

Tahun lalu, beliau ditauliahkan sebagai Mejar Bersekutu Pertahanan Awam bagi agensi berkenaan.

harapan
Faizul (kanan) ketika menerima tauliah Mejar Bersekutu Pertahanan Awam.

Menurut beliau, penglibatan dalam kerja-kerja kesukarelawanan membuktikan bahawa politik tidak sepatutnya hanya hadir ketika pilihan raya, tetapi mesti bermula dengan khidmat, keprihatinan dan kesediaan untuk turun membantu masyarakat.

Faizul juga memaklumkan bahawa beliau telah membuka pejabat di Bandar Penawar sejak tahun lalu sebagai pusat gerak kerja dan khidmat kepada masyarakat, sekali gus menjadi bukti komitmen beliau untuk terus berada dekat dengan rakyat di kawasan Pengerang dan Tanjung Surat.

“Kalau ada pihak mahu label saya sebagai orang luar, silakan. Saya tidak mahu banyak berdebat. Saya hanya bawa satu perkara, kita ada trek rekod, kita ada kerja dan kita ada komitmen untuk terus bersama rakyat Tanjung Surat,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama beliau adalah untuk membawa politik yang lebih matang, berkhidmat dengan rendah hati dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap PH di DUN Tanjung Surat.

“Saya menawarkan diri bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk bekerja. Tanjung Surat memerlukan wakil rakyat yang memahami isu lokal, mendengar suara masyarakat dan berani membawa agenda pembangunan untuk semua,” katanya.

Faizul merupakan calon Nombor 1 bagi N39, DUN Tanjung Surat mewakili PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button