BERITA SEMASAPOLITIK

BERSAMA sah sertai PRN Johor, lancar Jelajah Kancil bermula Sabtu ini

KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 sebagai medan pertama menguji kekuatan parti itu selepas dilancarkan semula kurang sebulan lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERSAMA memaklumkan keputusan tersebut dimuktamadkan selepas beberapa siri perbincangan melibatkan pimpinan parti dan ahli-ahli terpilih dari seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, perbincangan lanjut bersama wakil ahli BERSAMA di Johor bagi mengenal pasti kerusi yang bakal ditandingi turut dijadualkan berlangsung hari ini.

“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan BERSAMA kepada pengundi-pengundi Johor walaupun parti ini berusia kurang daripada sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu.

“Penyertaan dalam PRN ini juga membolehkan BERSAMA membina jentera pilihan raya dalam tempoh singkat serta menguji kecekapan dan kelemahan jentera sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang,” menurut kenyataan itu.

Seiring dengan persiapan menghadapi PRN Johor, BERSAMA turut mengumumkan pelancaran siri jelajah ke seluruh negara yang dinamakan Jelajah Kancil, bermula di Johor pada 6 Jun ini.

Program pertama jelajah tersebut akan berlangsung di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru pada pukul 8 malam.

Menurut BERSAMA, Jelajah Kancil akan memberi tumpuan kepada 12 agenda utama parti dengan setiap negeri diberikan fokus kepada satu agenda tertentu.

Selepas Johor, siri jelajah itu dijadualkan diteruskan ke beberapa negeri termasuk Melaka pada 7 Jun, Negeri Sembilan (13 Jun), Perak (14 Jun), Kelantan dan Terengganu Utara (20 Jun), Pahang dan Terengganu Selatan (21 Jun), Selangor Utara/Tengah (28 Jun), Selangor Selatan (1 Julai), Pulau Pinang (4 Julai), Kedah dan Perlis (5 Julai), Kuala Lumpur (11 Julai), Selangor Barat (12 Julai) serta Selangor Timur (18 Julai).

BERSAMA berkata, tarikh dan lokasi bagi setiap siri jelajah akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi parti.

Parti itu turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini serta mendaftar kehadiran melalui laman sesawang rasmi mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button