Calon PH DUN Bukit Naning janji pulangkan sebahagian gaji wakil rakyat untuk program kebajikan
MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni berjanji memulangkan sebahagian gajinya sebagai wakil rakyat kepada penduduk menerusi pelbagai program kebajikan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan antara lima tekad yang digariskan bagi membina Bukit Naning sebagai kawasan lebih makmur, sejahtera dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.
Katanya, sebahagian gaji wakil rakyat itu akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan menerusi pelbagai program kebajikan.
“Saya komited untuk memulangkan sebahagian gaji wakil rakyat kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Saya juga akan meneruskan program kebajikan seperti agihan bakul makanan, bantuan kecemasan dan inisiatif prihatin yang dapat membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Naning, di sini hari ini.
Selain kebajikan, Timbalan Pengerusi PKR Johor itu turut menawarkan empat lagi tekad iaitu memperkasa pendidikan, memperkukuh sektor kesihatan, memajukan pertanian serta menerajui pembangunan infrastruktur.
Menurutnya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk menyediakan kelas tuisyen percuma, memperjuangkan peluang latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta mengesyorkan insentif pendidikan kepada pelajar yang menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, lima tekad tersebut bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen yang berpaksikan kepada keperluan sebenar rakyat Bukit Naning.
“Saya mahu melihat pembangunan yang bukan sahaja membina infrastruktur tetapi juga membina kehidupan yang lebih baik melalui pendidikan, kesihatan, ekonomi, pertanian dan kebajikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















