POLITIK

AMANAH seru rakyat Johor tolak politik perkauman, fokus pembangunan ekonomi

BATU PAHAT – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru rakyat Johor menolak politik perkauman dan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri bagi memastikan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, politik yang memainkan sentimen kaum tidak akan menyelesaikan masalah sebenar rakyat, sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada usaha meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya dipengaruhi dakwaan kononnya sesuatu kaum menjadi ancaman kerana hakikatnya semua kaum mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

“Saya lama dah menolak isu perkauman. Kita nak berjaya kita kena bekerja, kita kena bersungguh-sungguh, bukan dengan memaki kaum lain.

“Dulu kita maki orang Cina kerana mereka ada peluang ekonomi. Sekarang kita maki pula warga Bangladesh dan Myanmar kerana mereka buat kerja-kerja tertentu.

“Kamu maki macam mana pun orang Cina tetap ada di Malaysia. Isu kononnya orang Cina hendak ambil alih Malaysia juga tidak betul,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama YB Datuk Seri Mohamad Sabu, di Rengit, di sini hari ini.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Baca juga : PRN Johor: ‘Fatwa’ politik PAS tidak konsisten, berubah ikut keadaan – Mat Sabu

Dalam masa sama, Mohamad berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan Johor termasuk usaha memudahkan pergerakan pekerja ulang-alik ke Singapura.

Katanya, perkara itu sering dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet termasuk penambahan lorong automatik di pintu sempadan serta cadangan projek sistem rel yang mampu meningkatkan kecekapan pengangkutan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button