PRN Johor: PH mahu Johor jadi kuasa ekonomi sendiri, kurangkan kebergantungan pekerjaan di Singapura
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) berhasrat menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang mampu menjana peluang pekerjaan, bakat dan kekayaan sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyatnya terhadap peluang pekerjaan di Singapura.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan Johor pada masa hadapan perlu dirancang dengan matlamat menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi supaya rakyat negeri itu tidak lagi perlu berulang-alik ke negara jiran untuk mencari rezeki.
Menurut beliau, Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi paling penting di Asia Tenggara sekiranya kekuatan negeri dan Persekutuan dapat digembleng secara berkesan.
“Kita mahu memastikan Johor cukup kuat untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor dan rakyat Malaysia dengan pendapatan yang tinggi. Johor mesti menjadi negeri yang mampu menjana peluang, bakat dan kekayaannya sendiri,” katanya ketika melancarkan Manifesto Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching serta Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, Johor mampu berdiri sebagai simbol kejayaan ekonomi Malaysia dan menjadi antara negeri paling maju di rantau ini.
“Apabila orang luar melihat Malaysia melalui Johor, mereka perlu melihat Johor sebagai lambang kejayaan dan kemuliaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, falsafah pembangunan PH di Johor turut menekankan pengagihan pertumbuhan ekonomi yang lebih adil ke seluruh negeri, tanpa tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
“Johor yang adil untuk semua bermaksud pembangunan ekonomi yang adil untuk semua. Setiap lokaliti dan daerah perlu dibangunkan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan usaha pemulihan Forest City telah mewujudkan momentum pertumbuhan ekonomi yang positif di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, manfaat pembangunan tersebut perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan rakyat di seluruh Johor, bukan hanya tertumpu di bahagian selatan negeri.
“Menteri Besar PH nanti adalah Menteri Besar untuk semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan semua daerah. Johor Utara akan diperkasakan, Johor Tengah akan diperkukuh dan Johor Selatan akan terus dimajukan,” katanya.
Beliau turut mengakui masih terdapat jurang pendapatan yang ketara antara daerah di Johor, dengan kawasan seperti Mersing dan Benut masih mencatatkan pendapatan yang lebih rendah berbanding Johor Bahru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















