Cikgu Hishamuddin tawar tujuh komitmen untuk Sri Medan
BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Cikgu Hishamuddin menggariskan tujuh komitmen utama sebagai teras perjuangan beliau sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pendekatan “Mendengar, Berkhidmat, Menyelesaikan” akan menjadi asas utama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, termasuk memastikan setiap suara penduduk diberi perhatian sewajarnya.
Menurutnya, Sri Medan mempunyai kekuatan dalam sektor pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendidikan serta komuniti kampung yang harmoni, namun masih berdepan cabaran seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemudahan asas.
“Saya percaya amanah sebagai wakil rakyat bukan sekadar membawa suara ke Dewan Undangan Negeri, tetapi turun padang, memahami masalah rakyat dan mencari penyelesaian terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cikgu Hishamuddin berkata, antara komitmen utama yang akan diberi perhatian ialah memperkukuh peluang pekerjaan serta ekonomi tempatan melalui sokongan kepada usahawan kecil, petani dan perusahaan mikro.
Selain itu, beliau turut memberi fokus kepada penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan kampung, sistem saliran, akses internet serta kemudahan awam bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
Dalam aspek pendidikan dan kebajikan, beliau menegaskan kepentingan memperkasa pembangunan belia, wanita serta menjaga kebajikan warga emas sebagai sebahagian agenda utama pembangunan sosial.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bantuan kerajaan akan disalurkan secara telus, adil dan tanpa mengira latar belakang, selain menekankan kepentingan pentadbiran berintegriti dalam pengurusan peruntukan serta program pembangunan.
“Saya akan memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik,” katanya lagi.
Tambah beliau, pembangunan mampan juga akan menjadi fokus bagi memastikan Sri Medan berkembang secara seimbang dari aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, semua komitmen yang digariskan itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya satu pelan untuk memastikan kesejahteraan jangka panjang masyarakat setempat.
“Saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Sri Medan untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








