POLITIK

Anak Mohd Puad kesal ada pihak tuduh beliau ‘spy’

KUALA LUMPUR – Anak kepada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kecewa apabila ada ahli UMNO menuduh beliau sebagai pengintip dan menyusahkan parti selepas bapanya memlih untuk keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Omar Hafidz berkata, dia masih bersama dengan UMNO, namun dituduh sebagai menyusahkan parti sewaktu membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang.

Jelasnya, dia kekal berjuang bersama UMNO dan akan setia membantu setiap perjuangan partinya walaupun bapanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, sudah mengumumkan meninggalkan UMNO.

“Dua hari lalu (Sabtu), saya pulang ke Johor untuk membantu kempen calon Barisan Nasional di DUN Senggarang. Niat saya hanyalah untuk membantu kemenangan parti.

“Namun, saya didatangi seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian yang memaklumkan bahawa kehadiran saya dikatakan menyusahkan parti. Saya juga dimaklumkan terdapat pandangan bahawa saya dianggap sebagai ‘spy’ kepada ayah saya.

“Malah, saya turut dimaklumkan terdapat arahan jika terdapat ‘posting’ calon yang ada gambar saya, maka ia mesti dikeluarkan.

“Terus terang, perkara itu amat mengecewakan. Bukan kerana jawatan atau kedudukan, tetapi kerana saya hadir dengan niat untuk membantu parti yang masih saya anggap sebagai perjuangan saya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Omar, beliau bagaimanapun tidak menyalah keseluruhan UMNO kerana percaya masih ramai pemimpin dan ahli yang ikhlas serta mengutamakan perpaduan.

“Saya tetap tidak akan membalas dengan kebencian. Saya memilih untuk terus berpegang kepada prinsip bahawa perjuangan tidak diukur pada jawatan, tetapi pada keikhlasan untuk berkhidmat.

“Jika kita terlalu mudah menghukum kesetiaan seseorang, terlalu cepat melabel seseorang sebagai musuh atau ‘spy’, bagaimana kita mahu menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO?

“Parti menjadi kuat apabila mampu merangkul, bukan menolak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button