LUAR NEGARA

Trump arah Pentagon kurangkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan Pentagon mengurangkan secara ketara latihan ketenteraan bersama Korea Selatan, dengan mendakwa Seoul enggan menyertai Washington dalam usaha ‘menyah-nuklear’ Iran.

Trump berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hubungan baiknya dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, selain menyifatkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan sebagai mahal dan boleh menghantar isyarat yang tidak wajar kepada Pyongyang.

“Berdasarkan hubungan saya yang sangat baik dengan Kim Jong-un, Korea Utara, saya tidak berpuas hati dengan hakikat bahawa Amerika Syarikat sejak sekian lama bersetuju menyertai latihan ketenteraan bersama Korea Selatan,” katanya menerusi platform Truth Social.

Menurut Trump, latihan berkenaan bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, sebahagian besarnya ditanggung AS, malah boleh dianggap sebagai tindakan bermusuhan terhadap Korea Utara.

Beliau mendakwa Korea Utara tidak melakukan sebarang ancaman terhadap AS sepanjang tempoh beliau menjadi Presiden, sebaliknya menunjukkan sikap menghormati.

Trump bagaimanapun berkata latihan bersama yang dijadualkan bermula hari ini sudah terlalu hampir untuk dibatalkan bagi tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth supaya mengurangkan skala latihan tersebut dengan ketara.

Dalam kenyataan sama, Trump turut mendakwa beliau baru-baru ini meminta Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung menyertai AS dalam usaha ‘menyah-nuklear Republik Islam Iran’, namun permintaan itu ditolak.

“Saya bertanya kepada Presiden Korea Selatan sama ada mereka mahu menyertai kami dalam usaha menyah-nuklear Republik Islam Iran, dan mereka berkata, ‘Tidak, terima kasih!’” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button