Manifesto PH tiada elemen ‘game changer’ – Ahmad Zahid
JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dilancarkan hari ini, tidak mempunyai sebarang elemen ‘game changer’.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, berdasarkan penelitian, sebahagian besar tawaran dalam manifesto tersebut sudah dilaksanakan Kerajaan Johor sepanjang penggal pentadbiran lalu.
“Saya sudah meneliti dan mendapati sebahagian manifesto itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam penggal pentadbiran lalu.
“Kita menghormati apa yang mereka cadangkan tetapi Alhamdulillah, sebahagian daripada manifesto itu telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Johor.
“Tidak ada sesuatu baharu yang boleh menjadi satu game changer,” katanya.
Ahmad Zahid berkata berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa TABIKA KEMAS Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini hari ini.
Terdahulu, PH melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena PRN kali ini.
Antara teras utama manifesto itu ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan orang kurang upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kempen setakat ini, Ahmad Zahid berkata, persaingan antara BN dan PH masih berjalan dengan baik sejak kempen berlangsung.
“Maka, semangat untuk bersaing itu adalah baik. Insya Allah, bersainglah secara sihat (healthy competition),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








