Anggota tentera wanita, tiga individu didakwa tipu pelaburan minyak wangi RM38,400
KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera wanita yang digantung tugas bersama tiga individu lain didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang anggota tentera lelaki membabitkan pelaburan minyak wangi yang didakwa tidak wujud, mengakibatkan mangsa kerugian RM38,400.
Bagaimanapun, tertuduh, Puteri Alisa Nabila Muhamad Razali, 23, bersama tiga pekerja dalam industri minyak wangi, Mohamad Nazirul Azri Fairus, 29, Mariam Najwa Mahadi, 27, dan Khor Leong Weong, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa memperdaya seorang anggota tentera lelaki berusia 20 tahun untuk menyertai satu skim pelaburan minyak wangi yang tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM38,400 secara dalam talian ke akaun bank milik Mariam Najwa, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Sentul di sini pada 2 Mei lalu, memetik laporan Kosmo! Online.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadly Mohd. Zamry memohon jaminan RM50,000 terhadap Puteri Alisa, manakala RM10,000 bagi setiap seorang lagi tertuduh.
Menurutnya, jumlah jaminan yang lebih tinggi dicadangkan terhadap Puteri Alisa kerana tertuduh merupakan anggota tentera yang didakwa telah tidak melapor diri selama lebih setahun.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd. Faizal yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan Puteri Alisa diikat jamin sebanyak RM14,000, manakala Mohamad Nazirul, Mariam Najwa dan Khor masing-masing dibenarkan diikat jamin RM7,000.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















