BERITA SEMASA

Penambahbaikan mekanisme subsidi diesel dijangka diumum tidak lama lagi – Armizan

PAPAR – Kerajaan dijangka mengumumkan penambahbaikan mekanisme subsidi diesel dalam tempoh kurang sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya optimis pengumuman itu dapat dibuat lebih awal daripada tempoh satu hingga dua bulan yang dianggarkan sebelum ini, lapor BERNAMA.

Beliau menambah, keyakinan itu berdasarkan sesi libat urus bersama pihak berkaitan telah dilaksanakan dan semua maklum balas sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Maklum balas dan input daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, serta kementerian, telah disampaikan sepenuhnya kepada MOF sebagai agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap perkara ini.

“Beberapa penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memastikan pelaksanaan subsidi terus menjaga kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan sebagai berkata, beberapa penambahbaikan terhadap sistem subsidi diesel bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan kerajaan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Beliau berkata, antara penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan termasuk mempermudah proses permohonan, melonggarkan syarat kelayakan berkaitan pengambilalihan kenderaan secara sambung bayar serta membenarkan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button