Tuntutan subsidi diesel menurun 51.6 peratus pada Ogos
KUALA LUMPUR – Jumlah tuntutan subsidi diesel oleh syarikat minyak bagi Ogos 2024 berkurang sebanyak 51.6 peratus berbanding amaun tuntutan bagi bulan Mei 2024.
Menurut Kementerian Ekonomi, kuantiti tuntutan juga telah menurun sebanyak 47.4 peratus dalam tempoh yang sama.
“Mulai tahun ini kerajaan akan melaksanakan penyasaran semula subsidi secara berfasa bagi membendung ketirisan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
“Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini, kerajaan menganggarkan penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM4 bilion setahun,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Jawapan tersebut susulan soalan Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) (PN-Lumut) yang ingin tahu sebarang kajian atau perancangan untuk menilai keberkesanan subsidi yang sedia ada dan adakah subsidi bersasar merupakan penyelesaian jangka panjang.
Penyasaran subsidi diesel yang mensasarkan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan darat melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) dengan menggunakan kaedah “fleet card” tersebut dilaksanakan sesudah kerajaan menyasarkan semula subsidi harga ayam dan bil elektrik
“Melalui kaedah ini, syarikat logistik yang diluluskan layak untuk mendapat bekalan diesel di stesen minyak pada harga RM2.15 seliter.
“Kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, ambulans dan bomba sukarela masih menikmati harga super subsidi pada RM1.88 seliter dan sektor nelayan pada RM1.65 seliter,” katanya.
Penyasaran subsidi tersebut turut diiringi pelancaran program Budi Madani Individu dan Budi Madani Agri-Komoditi iaitu pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
“Bantuan tunai secara bulanan ini dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








