PRN Johor: Lebih 300,000 dijangka pulang mengundi
KUALA LUMPUR – Lebih daripada 300,000 pengundi luar dijangka pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mereka, yang akan menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di lebuh raya khususnya di negeri itu sempena hari pengundian, Sabtu ini.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, orang ramai yang bercadang untuk memasuki atau melalui Johor disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke negeri berkenaan.
Tambahnya, bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar di lebuh raya, kerja-kerja melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian tersebut kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.
“LLM juga menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch ‘n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.
“Pengguna juga perlu mematuhi had laju dan berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Simpang Renggam hingga Senai (Utara),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasni turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane dan berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah yang disediakan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta menyemak sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. Borneo+news
Paparan keadaan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya turut boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my serta Saluran WhatsApp LLM Info Trafik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















