POLITIK

Soraya calon berwibawa, wakili suara generasi muda Sungai Balang – Amirudin Shari

MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Soraya Badarudin disifatkan sebagai calon yang mewakili aspirasi generasi muda dengan pengalaman profesional yang mampu dimanfaatkan untuk memacu pembangunan kawasan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bekas Jurutera Maritim itu beriltizam menggunakan pengalaman dan kepakarannya bagi memperjuangkan pembangunan serta kebajikan rakyat Sungai Balang sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Soraya mewakili aspirasi generasi muda yang profesional. Sebagai bekas Jurutera Maritim, beliau beriltizam untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya demi membawa pembangunan serta memperjuangkan kebajikan rakyat Sungai Balang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi turun padang bersama Soraya di sekitar Parit Yusuf, di sini, semalam dengan menyantuni para peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, program itu turut menjadi platform untuk bertanya khabar selain berkongsi aspirasi PH serta memohon sokongan rakyat menjelang hari pengundian.

“Soraya mewakili aspirasi generasi muda yang profesional. Sebagai bekas Jurutera Maritim, beliau beriltizam untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya demi membawa pembangunan serta memperjuangkan kebajikan rakyat Sungai Balang.

“Insya-Allah, semoga rakyat memberikan mandat kepada Saudari Soraya Badarudin untuk menjadi suara anak muda yang berwibawa di Dewan Undangan Negeri Johor,” katanya.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR turut berharap pengundi di Sungai Balang memberikan sokongan kepada Soraya bagi membolehkan calon itu membawa suara rakyat serta memperjuangkan agenda pembangunan kawasan berkenaan di Dewan Undangan Negeri Johor.

Dalam pada itu, Soraya berkata, sesi dialog seperti itu memberi peluang kepada rakyat memahami dengan lebih jelas pelan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Gandingan idea dan penerangan yang disampaikan oleh kedua-dua pimpinan bukan sahaja memberi pencerahan kepada penduduk, malah menyuntik keyakinan baharu terhadap usaha pembangunan yang dirancang untuk negara dan negeri,” katanya.

Pemerkasaan ekonomi tempatan menerusi penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta sokongan kepada usahawan, nelayan, petani dan perusahaan kecil menjadi antara lima tekad yang digariskan Soraya.

Dalam kenyataan hari ini, Soraya berkata, lima tekad tersebut dirangka hasil daripada pertemuan dan sesi menyantuni penduduk bagi memahami keperluan serta harapan masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha memperkasa ekonomi setempat akan dilaksanakan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti selain memperkukuh ekosistem usahawan tempatan, komuniti nelayan, petani dan syarikat perniagaan kecil supaya ekonomi Sungai Balang terus berkembang serta berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button