PRN Johor: Tiga calon hadir pusat penamaan calon DUN Semerah
BATU PAHAT – Setakat jam 9 pagi, tiga calon telah hadir ke Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah bagi melengkapkan proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Perikatan Nasional (PN), Halim Kepol, tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan diiringi Pengarah Pilihan Raya Pas PRN Johor, Tan Sri Annuar Musa, bersama sekitar 100 penyokong.

Lima minit kemudian, calon Barisan Nasional (BN), Fared Mohd Khalid, hadir ke pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi dengan ditemani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kira-kira 300 penyokong.

Tepat jam 9 pagi, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Khuzzan Abu Bakar, pula memasuki pusat penamaan calon bersama kira-kira 150 penyokong dan Ketua Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil.

Ketiga-tiga calon kini berada di dalam dewan bagi menjalani proses penamaan calon yang sedang berlangsung.
Keputusan rasmi mengenai calon yang layak bertanding dijangka diumumkan oleh Pegawai Pilihan Raya DUN Semerah, Nazid Jadiman, selepas proses semakan dan pengesahan selesai.
Tinjauan mendapati suasana di luar pusat penamaan calon berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal.
Walaupun BN dan PH tidak bekerjasama dalam PRN Johor kali ini, penyokong kedua-dua parti dilihat berinteraksi secara mesra tanpa sebarang insiden tidak diingini, manakala anggota keselamatan turut ditempatkan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















