POLITIK

PH pertaruh calon berpengalaman tangani isu banjir, ruang awam di Skudai dan Perling

SKUDAI – Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon muda yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan bagi membawa penyelesaian kepada isu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dan Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh berkata, calon PH DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan dan calon PH DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong memiliki kelebihan kerana pernah terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran serta memahami kaedah penyelesaian masalah rakyat melalui sistem kerajaan.

Menurutnya, pengalaman Alan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai dari 2018 hingga 2022 serta pengalaman Kartiyaini dalam pentadbiran kerajaan menjadikan kedua-duanya calon yang bersedia untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri ketika berusia 29 tahun tanpa pengalaman. Kartiyaini dan Alan pula sudah memahami bagaimana kerajaan berfungsi dan bagaimana masalah rakyat boleh diselesaikan. Mereka tidak bermula dari kosong,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, manifesto yang dibawa kedua-dua calon dirangka berdasarkan maklum balas penduduk setempat dengan memberi tumpuan kepada dua isu utama iaitu pengurusan banjir dan penyediaan lebih banyak ruang awam berkualiti.

“Rakyat mahukan wakil rakyat yang bekerja, mendengar dan tahu bagaimana sistem kerajaan berfungsi. Itulah yang dibawa oleh Kartiyaini dan Alan,” katanya lagi.

Sementara itu, Alan Tee Boon Tsong berkata, beliau bersama Kartiyaini memilih untuk memfokuskan isu banjir dan ruang awam selepas perkara tersebut paling kerap dibangkitkan penduduk sepanjang sesi libat urus yang dijalankan.

“Manifesto ini lahir daripada suara penduduk. Keutamaan kami ialah membawa penyelesaian yang praktikal dan boleh dilaksanakan demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Hannah turut menggesa anak Johor yang bekerja di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor.

Beliau yakin pengalaman serta komitmen yang dimiliki Kartiyaini dan Alan mampu membantu mereka menjadi suara rakyat yang berkesan serta memperjuangkan keperluan masyarakat di Skudai dan Perling.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button