PRN Johor: Mohd Puad umum sokong calon PH di DUN Rengit
CYBERJAYA – Bekas ahli majlis kerja tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Yazid Bakri, bagi kerusi Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Mohd Puad dalam hantaran di Facebook berkata, beliau kini tidak berparti dan memilih calon berdasarkan keperibadian individu berkenaan, bukan semata-mata parti yang diwakili.
Bekas ADUN Rengit itu turut menyenaraikan sebab tindakannya menyokong Yazid antaranya calon itu anak jati Rengit, bukan tinggal di bandar, menetap di kawasan berkenaan dan rumahnya terletak di Rengit.
“Dia juga pengerusi Surau Al-Wusto Rengit,” katanya.
Puad yang sebelum ini mengumumkan keluar daripada Umno pada 25 Jun lalu menegaskan, dirinya tidak lagi mampu berdiam diri kerana menyifatkan UMNO Johor kini tidak lagi berupaya membuat keputusan secara autonomi.
Mohd Puad sebelum ini turut menggesa pengundi di DUN Rengit menangguhkan sokongan kepada BN sehingga kerajaan Johor menyelesaikan isu bekalan air dan benteng pecah di Kampung Berong Laut.
Menurutnya, kedua-dua masalah itu masih berlarutan walaupun sudah beberapa kali dibangkitkan kepada kerajaan negeri.
Beliau turut mendakwa, usaha menyegerakan penyelesaiannya juga tidak diberi keutamaan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor.
Saingan bagi DUN Rengit meyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Yazid, Mohd Zaidi Jpar dari BN dan Syed Mohamad Syed Alwi dari Perikatan Nasional (PN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















