PRN Johor: PAS tidak gerakkan jentera bantu calon BERSATU
MARANG – Jentera pilihan raya PAS itu tidak akan membantu calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun parti itu mendesak untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, pihaknya sudah membatalkan kerjasama politik dengan BERSATU dan semua jentera parti akan bergerak secara berasingan, lapor BH Online.
“Walaupun BERSATU belum dipecat daripada parti gabungan PN tetapi jentera kempen kedua-dua parti itu akan bergerak secara berasingan.
“PAS sudah membatalkan kerjasama politik dengan BERSATU dan jentera parti masing-masing bergerak berasingan, walaupun parti itu mendesak untuk menggunakan logo PN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Pada PRN Johor nanti, PAS hanya meletakkan calonnya untuk bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN), manakala BERSATU bertanding di 16 kerusi, lima kerusi untuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengesahkan hanya bertanding satu kerusi.
Ketika ditanya sama ada ‘penceraian’ antara PAS dan BERSATU hanya satu strategi politik, Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua calon PAS ditetapkan untuk bertanding menggunakan logo PN tetapi BERSATU tetap mendesak untuk menggunakan logo yang sama dan mungkin penggunaan logo itu adalah strategi parti berkenaan.
“Kita tegaskan, jentera pilihan raya PAS tidak akan membantu kempen BERSATU… kita sudah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan parti itu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








