POLITIK

PRN Johor: Cheah Chee Hong tawar agenda ekonomi baharu untuk Kukup

PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Cheah Chee Hong, bertekad untuk memastikan penduduk setempat tidak tersisih daripada menikmati manfaat ekonomi hasil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang keusahawanan, Chee Hong yakin Kukup mampu melonjak sebagai hab pelancongan dan ekonomi serantau, terutama dengan sokongan operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link kelak.

Chee Hong berkata peningkatan kemasukan pelancong dari Singapura bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Saya berhasrat menjadikan Kukup sebagai salah satu destinasi utama dalam kawasan JS-SEZ supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh komuniti.

“Sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, saya akan memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya, lampu jalan, kawasan parkir, capaian internet, bekalan elektrik dan bekalan air bagi meningkatkan keselesaan penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata menerusi hantaran pada akaun Facebooknya rasminya.

Chee Hong turut mengemukakan cadangan pembangunan pasar malam berskala besar berhampiran Terminal Feri Kukup sebagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan peniaga tempatan melalui penyediaan 100 hingga 200 tapak gerai.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan malah menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan, khususnya golongan muda, membina perniagaan di kawasan sendiri.

Beliau turut komited membantu golongan nelayan mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan MADANI seperti subsidi diesel, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), insentif hasil tangkapan ikan dan bantuan menaik taraf bot.

“Masih ramai nelayan kurang mendapat maklumat atau menghadapi kesukaran dalam proses permohonan dan saya bersedia membantu memudahkannya,” katanya.

Mengulas penglibatannya dalam politik, Chee Hong berkata pengalaman aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi keyakinan bahawa platform politik membolehkannya berkhidmat kepada lebih ramai masyarakat.

Chee Hong yakin sokongan kerajaan Persekutuan akan memudahkannya membawa lebih banyak projek pembangunan dan peluang ekonomi kepada Kukup sekiranya diberi mandat pada PRN Johor kali ini.

Beliau berharap pengalaman sebagai usahawan dapat dimanfaatkan untuk membina sebuah Kukup yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera demi manfaat seluruh rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button