SUKAN

Malaysia naib juara Kejohanan Finswimming Asia Tenggara 2026

JOHOR BAHRU – Malaysia muncul naib juara keseluruhan Kejohanan Finswimming Asia Tenggara 2026 selepas meraih 157 pingat pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Akuatik MBJB di sini, dari 29 hingga 31 Oktober lalu.

Malaysia mengumpul 46 pingat emas, 54 perak dan 57 gangsa dalam kejohanan yang menghimpunkan 137 atlet dari empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

renang sirip
Sebanyak empat negara Asia Tenggara termasuk dari Vietnam, Indonesia dan Kemboja menyertai kejohanan tersebut.

Persatuan Finswimming Malaysia (MFSA) dalam kenyataan hari ini berkata, kejohanan itu turut mencatat sejarah menerusi penganjuran sulung Kejohanan Finswimming Kumpulan Umur Asia Tenggara 2026.

“Pengenalan kejohanan kumpulan umur itu menyediakan platform pertandingan serantau khusus kepada atlet muda, sekali gus memperkukuh laluan pembangunan atlet dan memberi peluang lebih luas kepada bakat baharu memperoleh pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kejohanan berkenaan diterajui Presiden MFSA, Ravivarma Sanmugam susulan pemilihannya sebagai Presiden CMAS Asia Tenggara pada 2026. Jawatankuasa penganjur diketuai Mohd Azwim Kamarulzaman selaku pengerusi penganjur merangkap Timbalan Presiden MFSA.

Majlis pembukaan rasmi disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan geran padanan RM80,000 bagi menyokong penganjuran kejohanan itu, termasuk penambahbaikan venue dan kemudahan pertandingan serta meningkatkan pengalaman atlet dan penonton.

Sokongan turut diberikan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), khususnya dalam penyediaan venue, persiapan kawasan kolam serta penyelarasan logistik.

renang sirip
KBS meluluskan geran padanan RM80,000 bagi menyokong penganjuran kejohanan tersebut.

Kejohanan itu turut mencatat satu lagi pencapaian apabila siaran langsung diperkenalkan buat kali pertama, sekali gus meluaskan capaian pertandingan kepada penonton di luar venue dan meningkatkan pendedahan sukan finswimming di peringkat serantau.

Dalam pada itu, MFSA berharap dapat meneroka peluang memperkenalkan finswimming sebagai sukan demonstrasi atau acara pameran tanpa perebutan pingat pada Sukan SEA Malaysia 2027, tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa sukan berkaitan.

Menurut persatuan itu, finswimming berkongsi beberapa keperluan operasi dengan sukan renang kompetitif, termasuk penggunaan kolam renang standard, sistem pemasaan elektronik dan pengurusan pertandingan.

“Ini mewujudkan potensi untuk memanfaatkan infrastruktur akuatik sedia ada serta sumber operasi tertentu, dengan tetap mengekalkan keperluan teknikal dan keselamatan khusus sukan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MFSA percaya penganjuran acara demonstrasi berkenaan mampu memperkenalkan finswimming kepada khalayak serantau yang lebih luas, selain memperlihatkan daya tarikan kompetitif sukan itu dan menyokong usaha untuk dipertimbangkan dalam edisi Sukan SEA akan datang.

renang sirip
Duo adik-beradik, Jovis Cheng (kiri) dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Keseluruhan bagi kategori umur 10 hingga 11 tahun, manakala Sienna Cheng (kanan) meraih Atlet Perempuan Terbaik Keseluruhan bagi kategori umur 8 hingga 9 tahun pada Kejohanan Finswimming Asia Tenggara 2026.

Sekiranya disenaraikan dalam program temasya itu pada masa depan, finswimming juga berpotensi membuka peluang tambahan kepada Malaysia dan negara Asia Tenggara lain untuk bersaing merebut pingat menerusi pelbagai disiplin dan jarak perlumbaan.

MFSA turut merakamkan penghargaan kepada semua negara peserta, agensi kerajaan, rakan penganjur, penaja, pegawai teknikal, sukarelawan, jurulatih, pengurus pasukan dan atlet yang menyumbang kepada kejayaan kejohanan berkenaan.

Vietnam akan menjadi tuan rumah edisi seterusnya Kejohanan Finswimming Asia Tenggara pada 2027, meneruskan usaha memperkukuh kerjasama sukan serantau dan memperluas peluang pembangunan atlet.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button