Kejohanan Piala Asia di Arab Saudi ditunda ke hujung 2027
PUTRAJAYA – Kejohanan Piala Asia di Arab Saudi yang dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan ditunda kepada 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan memaklumkan, penangguhan itu susulan situasi keselamatan di rantau berkenaan.
“Tarikh baharu kejohanan itu akan dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan kelulusan,” kata AFC dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Keputusan berkenaan dicapai susulan perbincangan bersama Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Piala Asia 2027 serta Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF).
Urusan perjalanan dan logistik antara cabaran dikenal pasti AFC, yang menyifatkan perubahan jadual itu perlu bagi melindungi kepentingan semua pihak termasuk pasukan, pegawai, penyokong serta pihak lain terbabit dalam penganjuran.
“AFC memuji komitmen SAFF dan LOC dalam usaha menganjurkan kejohanan bertaraf dunia untuk pemain serta peminat.
“AFC akan terus bekerjasama rapat dengan LOC, persatuan anggota yang mengambil bahagian, penaja, rakan penyiaran dan komersial serta semua pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














