‘Kesihatan lebih penting daripada bola sepak’ – Ronald Koeman umum letak jawatan ketua jurulatih Belanda
AMSTERDAM – Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu selepas kempen Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan apabila tewas kepada Maghribi di peringkat 32 terakhir.
Koeman berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menilai semula keutamaan hidup yang kini lebih tertumpu kepada kesihatan dan keluarga, selain mengambil kira keadaan yang dilalui oleh insan tersayang.
“Semalam saya membuat keputusan untuk menamatkan tempoh saya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda. Beberapa tahun kebelakangan ini juga membuatkan saya sedar sekali lagi bahawa terdapat perkara yang lebih penting daripada bola sepak.
“Bola sepak telah menjadi hidup saya, tetapi kesihatan tidak ternilai. Apabila seseorang yang kita sayangi sedang berjuang dengan masalah kesihatan yang serius, pandangan kita terhadap kehidupan berubah,” katanya dalam kenyataan di Instagram miliknya semalam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada isterinya, Bartina, yang disifatkan sebagai sumber kekuatan walaupun turut berdepan ujian kesihatan.
“Isteri saya Bartina, walaupun sedang melalui proses penyakitnya sendiri, tetap menyokong dan memberi semangat kepada saya setiap hari untuk menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih negara. Itu menunjukkan kekuatan yang luar biasa. Saya tidak mampu menggambarkan setinggi mana rasa terima kasih saya kepadanya,” katanya.
Koeman turut merakamkan penghargaan kepada semua pemain yang pernah beraksi di bawah bimbingannya, selain barisan kejurulatihan, Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB), kakitangan serta semua pihak yang terlibat di belakang tabir.
Beliau berkata, sokongan para penyokong juga amat bermakna terutama ketika berdepan detik sukar sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang pernah saya bekerjasama… terima kasih juga kepada staf saya, KNVB, semua kakitangan di belakang tabir dan kelab-kelab yang pernah saya bekerjasama.
“Dan paling utama, terima kasih kepada para penyokong atas sokongan anda terutama dalam saat-saat sukar. Ia satu penghormatan besar dapat mewakili Belanda sebagai ketua jurulatih,” katanya.
Koeman mengakui beliau mengimpikan untuk menamatkan tugas bersama Belanda dengan kejayaan menjulang Piala Dunia, namun impian itu tidak kesampaian.
“Saya mengucapkan selamat tinggal dengan perasaan bercampur baur. Sudah tentu saya lebih suka menamatkan tugas bersama Oranje dengan kejuaraan dunia. Impian itu malangnya tidak tercapai.
“Namun, rasa bangga tetap mengatasi segalanya terhadap apa yang bola sepak telah berikan kepada saya, insan-insan yang saya temui serta peluang menjadikan minat terbesar saya sebagai kerjaya,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tempoh bersama pasukan kebangsaan Belanda sebagai satu penghormatan besar yang penuh dengan kenangan suka dan duka.
Belanda hampir melangkah ke pusingan seterusnya apabila mendahului 1-0 pada minit-minit akhir hasil jaringan Cody Gakpo, namun mereka dibolosi gol penyamaan pada masa kecederaan apabila Issa Diop menjaringkan gol.
Dalam penentuan penalti, Maghribi lebih tenang apabila menyempurnakan tiga daripada lima sepakan mereka, manakala Belanda hanya berjaya menjaringkan dua gol.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















