BERITA SEMASASUKAN

VAR akan digunakan dalam Liga M tidak lama lagi?

CYBERJAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah membincangkan kemungkinan menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam perlawanan tempatan.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam perbincangannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina, semalam.

Hamidin berada di Rwanda bagi menghadiri Kongres FIFA buat kali pertama sebagai Ahli Majlis FIFA.

“Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu ‘Full VAR’ yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau ‘VAR Light’ (kurang dari lapan kamera).

“Meskipun Collina mencadangkan Full VAR namun menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.

“Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” kata Hamidin yang mengesahkan tindakan susulan akan diadakan oleh FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan unit Pengadil FIFA mengenai penggunaan VAR.

Hamidin kemudian memaklumkan, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin bola sepak negara lain bagi membincangkan mengenai penganjuran perlawanan persahabatan Tier 1.

“Kita juga membincangkan secara terperinci dengan UAE, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Republik Korea mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit,” kata Hamidin lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button