BERITA SEMASAPOLITIK

Reformasi DAP: Anthony Loke cadang beberapa langkah perkukuh kedudukan parti

SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengakui bahawa partinya kini berdepan dengan kemelut dalaman berikutan pertambahan ahli dan peranannya sebagai parti politik yang semakin dominan di Malaysia.

Sehubungan itu, bagi memastikan kedudukan DAP terus kukuh, beliau mencadangkan beberapa reformasi utama, termasuk mekanisme penilaian calon yang lebih sistematik dan telus.

Loke turut mencadangkan penubuhan Institusi Jawatankuasa Pemilihan Calon dalam perlembagaan parti, yang akan diwujudkan melalui pindaan perlembagaan parti dan dijangka dibentangkan dalam Konvensyen Kebangsaan DAP pada tahun 2026.

“Jawatan baru dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan diwujudkan dalam struktur parti kerana kita mempunyai ramai pemimpin sekarang, dan kita perlu mengkhususkan tugas serta peranan mereka.

“Untuk mengelakkan pemimpin DAP dilabel sebagai mengekang hak bersuara, saya juga mencadangkan agar jawatan Ketua Parlimen DAP dimasukkan dalam perlembagaan dan ia mesti dilantik dalam kalangan bukan anggota pentadbiran,” katanya.

Loke berkata demikian ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Mengulas lanjut, Loke berkata, bagi memperkukuh perancangan strategik parti, tiga jawatan utama seperti Pengarah Strategik, Pengarah Dasar, dan Pengarah Pilihan Raya akan diwujudkan.

“DAP perlu ada sistem yang lebih baik kerana kita terlibat dengan dasar-dasar kerajaan. Jadi, parti juga perlu sistem yang teratur supaya kita dapat bincangkan dasar-dasar kerajaan agar ia tidak bertentangan dengan prinsip parti,” katanya.

Dalam ucapan sama, Loke menegaskan DAP komited untuk terus memperkasa kedudukan wanita dan beliau mencadangkan agar Ketua Wanita DAP dilantik sebagai anggota tetap dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon.

“Seterusnya, pengenalan 30 peratus calon wanita di kawasan parlimen adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan dalam Pilihan Raya ke-16 (PRU-16) ini. Ini bukan sekadar janji atau komitmen, tetapi suatu tindakan yang wajib dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, DAP akan terus berusaha untuk memartabatkan peranan anak muda dalam politik dengan berani meletakkan calon-calon muda dalam pilihan raya.

“Saya beri cabaran supaya ketengahkan calon yang berusia 27 tahun dalam pilihan raya, tetapi bukan sahaja usia muda, dia kena ada bakat dan keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab. Saya juga berharap ada calon semuda 20-an akan diletakkan dalam PRU-16 akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button