DAP Negeri Sembilan buat laporan polis dakwaan fitnah libatkan institusi diraja
SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan mengaitkan parti itu dengan campur tangan terhadap institusi diraja negeri.

Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sembilan, Lim Chun Weng berkata, parti itu tidak pernah mencampuri urusan institusi diraja dan sentiasa menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri serta institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan oleh Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau, Sukri Shamsuddin, adalah tidak benar dan boleh mengelirukan rakyat.
“DAP tidak pernah campur tangan dalam isu institusi di Negeri Sembilan. Sejak hari pertama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah menyatakan dengan jelas bahawa parti ini menghormati institusi diraja negeri.
“Kami menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, politik tidak seharusnya dibina atas fitnah dan pembohongan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen kaum dan institusi diraja hanya bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu menjelang pilihan raya.
“Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni. Jika mahu berkempen, bersainglah secara sihat menggunakan fakta dan perbandingan dasar, bukannya dengan mereka-reka cerita.
“Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah mendakwa Anthony Loke boleh menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan menang, sedangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan telah menetapkan syarat yang jelas bagi jawatan tersebut,” katanya lagi.
Chun Wen turur berkata, dakwaan bahawa DAP cuba mempengaruhi istana merupakan satu tuduhan serius yang boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Isu melibatkan institusi diraja tidak sepatutnya dijadikan bahan politik murahan, terutama ketika negeri berdepan situasi sensitif.
“Sebagai ahli politik, kita perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan dan tidak mengheret institusi diraja ke dalam gelanggang politik,” katanya lagi.
Beliau berkata, laporan polis dibuat kerana kenyataan tersebut dipercayai berkemungkinan melanggar beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Lim menyeru semua pihak menghentikan politik fitnah dan kembali kepada politik yang lebih rasional serta berasaskan fakta.
“Jangan menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Harapan menang.
“Kita sudah memerintah Negeri Sembilan selama lapan tahun dan negeri ini kekal aman serta harmoni. Malah UMNO sendiri bersama dalam kerajaan perpaduan sejak tiga tahun lalu,” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada terdapat laporan polis lain akan dibuat berhubung isu sama, beliau berkata laporan tersebut merupakan yang pertama dibuat oleh DAP Negeri Sembilan setakat ini, namun tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil pada masa akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















