BERITA SEMASA

DAP Melaka buat laporan polis dakwaan lindungi sekolah agama Rohingya

MELAKA – DAP Melaka membuat laporan polis susulan penularan video di media sosial yang mendakwa parti itu melindungi sebuah sekolah agama Rohingya tanpa lesen di Pengkalan Rama Pantai, di sini hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP Melaka, Low Chee Leong berkata, laporan itu dibuat pembantunya, Tan Ching Wan di Balai Polis Tengkera bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat penyebaran video berkenaan.

Menurutnya, video yang dimuat naik pemilik akaun Facebook Steven Lee itu turut mengaitkan dirinya dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dengan dakwaan bersubahat serta melindungi sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang boleh mencemarkan nama baik parti dan pemimpin terbabit, selain mendakwa ia sengaja ditimbulkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini bukan sahaja fitnah, malah satu tuduhan dan perbuatan jahat menjelang PRN Melaka.

“Saya menegaskan dakwaan itu adalah tohmahan terhadap DAP dan kita buat laporan polis supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menubuhkan atau mengendalikan sekolah agama seperti yang didakwa kerana urusan penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Beliau menjelaskan isu sekolah berkenaan pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Rama Pantai sebelum laporan berkaitan turut dikemukakan kepada pejabat daerah.

“DAP tidak pernah menyalurkan peruntukan atau memberikan sokongan kepada sekolah berkenaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan segera dapat dijalankan terhadap penyebaran video berkenaan yang didakwanya mencemarkan nama baik pemimpin terbabit, selain menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button