POLITIK

Hormat kehendak rakyat Johor, tiada kerjasama dengan DAP – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dalam sebarang bentuk kerjasama politik di negeri itu, sebagai menghormati hasrat dan kehendak rakyat Johor yang mahukan BN bergerak sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendirian tersebut bukan berasaskan sentimen perkauman atau sikap angkuh, sebaliknya merupakan soal prinsip, mandat serta tanggungjawab terhadap rakyat negeri berkenaan.

“DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam Kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh jadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai pimpinan BN Johor, beliau menghormati hasrat akar umbi yang mahukan gabungan itu bergerak secara sendiri dalam menghadapi PRN Johor.

Menurutnya, kedudukan di peringkat negeri dan Persekutuan adalah berbeza, di mana Kerajaan Persekutuan dibentuk melalui kerjasama pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara BN dan PH atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, situasi tersebut tidak sama di Johor kerana BN telah diberi mandat jelas oleh rakyat untuk mentadbir negeri itu secara stabil.

“Alhamdulillah, kita sudah membentuk kerajaan negeri yang stabil. Kita membuktikan prestasi dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran berjalan lancar serta menjaga kebajikan rakyat tanpa sebarang gangguan politik yang boleh menjejaskan kestabilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button