Wee Ka Siong bidas DAP, nafi putar belit isu Perjanjian Malaysia-AS
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menegaskan beliau tidak pernah memutar belit fakta berkait Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat seperti didakwa segelintir penyokong DAP.
Ka Siong berkata, beliau hadir sepenuhnya dalam Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu dan mendengar penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai perkara berkenaan.
Menurut beliau, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut memaklumkan tiada sebarang gangguan atau soalan dibenarkan ketika sesi itu kerana ia merupakan Penerangan Menteri.
“Saya duduk dalam Dewan dari awal sampai habis. Saya dengar setiap patah perkataan yang dijelaskan oleh Tengku Zafrul. Jadi jangan cuba alih perhatian dengan membuat tohmahan tidak berasas,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Ka Siong berkata, sepanjang sesi berkenaan, Tengku Zafrul hanya menghuraikan Perkara 5.1 Perjanjian Malaysia–AS dan tidak pernah menyentuh isi kandungan perjanjian antara Kemboja dan Amerika Syarikat.
“Teks Perjanjian Timbal Balik Kemboja–AS hanya ditemuinya pada 30 Oktober sebelum beliau membangkitkan persoalan mengapa negara jiran itu diberikan hak menentukan sendiri sama ada mahu mengikuti sekatan Amerika Syarikat terhadap negara lain.
“Soalnya mudah: kalau Kemboja boleh, kenapa Malaysia tidak? Adakah Amerika Syarikat membuli Malaysia?” katanya lagi.
Beliau turut membangkitkan mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, ketika perbahasan itu namun bertindak mengkritik perjanjian tersebut di media.
“Ketika Rafizi tiada dalam Dewan dan memberi komen, tentera siber DAP sunyi. Tapi bila saya tanya soalan berasas, saya pula jadi sasaran,” katanya lagi.
Ka Siong turut berkata, beliau mengambil gambar sebagai bukti kehadirannya dalam Dewan bagi mengelakkan fitnah pihak yang cuba memutar belit fakta.
“Saya buat salah apa? Ini soal kedaulatan negara. Jangan cuba mengelirukan rakyat. DAP perlu jawab persoalan ini,” katanya lagi.
Isu perjanjian perdagangan Malaysia–AS terus menjadi fokus selepas ia dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen yang mahukan jaminan bahawa kepentingan negara, termasuk aspek kedaulatan, tidak terjejas dalam rundingan dengan negara kuasa besar itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








