Shahrol Shiro nafi lantikan tenaga pengajar UKM campur tangan politik
KUALA LUMPUR – Pelawak Shahrol Shiro menafikan pelantikannya sebagai tenaga pengajar sambilan kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau campur tangan politik.
Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 42, berkata tawaran itu diterimanya selepas beberapa perbincangan dengan pihak universiti, termasuk cadangan mewujudkan kursus Citra Seni Komedi untuk mahasiswa.
“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik.
“Tiada kena mengena langsung dan juga saya sedar serta insaf saya ini hanyalah pemegang (graduan) diploma. Doakanlah semoga degree (Ijazah Sarjana Muda) saya habis tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram, semalam.
Menurutnya, perbincangan mengenai kursus Citra bermula selepas beliau bertemu Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Dr Norinsan Kamil Othman, tahun lalu.
Katanya, dalam pertemuan itu, beliau dimaklumkan mengenai kepelbagaian kursus Citra yang ditawarkan kepada mahasiswa sebelum idea mewujudkan Citra Seni Komedi tercetus.
“Saya bersama beberapa pelawak tempatan kemudian dijemput untuk memeriahkan Malam Citra UKM dan diberi penghormatan membuat persembahan ‘stand-up comedy’.
“Sambutan terhadap persembahan itu amat baik sebelum saya akhirnya ditawarkan sebagai tenaga pengajar,” katanya.
Shahrol berkata, beliau melihat kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan penggiat industri seni mampu memberikan manfaat kepada mahasiswa menerusi gabungan pengetahuan akademik dan pengalaman di lapangan.
“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri (seni) membawa pengalaman di lapangan.
“Apabila kedua-dua ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa,” katanya.
Sementara itu, UKM menerusi Pusat Komunikasi Korporatnya menjelaskan pelantikan Shahrol di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada ‘stand-up comedy’.
UKM berkata, pelantikan itu hanya membabitkan latihan amali dan praktikal serta tidak melibatkan pengajaran dalam kuliah.
Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) pula adalah kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada mahasiswa bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya asas lakonan dan persembahan.
Terdahulu, perkongsian Shahrol mengenai pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra UKM mencetuskan perdebatan di media sosial apabila sebahagian netizen mempersoalkan kelayakan akademiknya.
Shahrol bagaimanapun berkata, UKM mempunyai sejarah dalam menyokong perkembangan seni komedi, termasuk apabila rakaman sitkom legenda *Pi Mai Pi Mai Tang Tu* pernah dilakukan di Panggung Eksperimen UKM, yang kini dikenali sebagai Panggung Seni UKM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








