Tuduhan terhadap SPRM: Tunggu laporan jawatankuasa khas siasatan
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak perlu menunggu laporan Jawatankuasa Khas Siasatan sebelum membuat sebarang tuduhan berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, laporan jawatankuasa yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar itu dijangka siap minggu ini, seperti dimaklumkan ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
Menurutnya, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), membuat dakwaan bahawa SPRM kini menjadi alat intimidasi politik tanpa meneliti laporan berkenaan terlebih dahulu.
“Itu pandangan BERSIH, tetapi tidak adil untuk membuat kenyataan tanpa melihat laporan terlebih dahulu. Jangan buat tuduhan hanya mengikut selera politik,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Perdana Menteri bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak mempertahankan mana-mana individu, namun menggesa pengkritik memberi tumpuan kepada isu integriti secara konsisten.
“Saya tidak pertahankan sesiapa. Kalau mahu bersih, kenapa ketika puluhan bilion ringgit dicuri sebelum ini tidak ada suara? Boleh kritik sesiapa termasuk saudara Azam Baki, tetapi biarlah konsisten,” katanya.
Terdahulu, BERSIH dalam satu kenyataan semalam mengecam hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH turut mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















