BERITA SEMASA

“Char Kuey Teow Terakhir” imbau nostalgia Tanah Tambun

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang tampil dengan pendekatan berbeza sempena Tahun Baharu Cina kali ini menerusi penerbitan filem pendek bertajuk “Char Kuey Teow Terakhir” yang mula ditayangkan semalam.

DAP berkata, filem berkenaan mengangkat kisah komuniti Tanah Tambun di Pengkalan Weld yang suatu ketika dahulu terbentuk daripada laut, sampah dan lumpur sebelum berkembang menjadi kawasan penempatan dan sumber rezeki masyarakat setempat.

“Kawasan berkenaan menyaksikan kehidupan ramai keluarga yang membina rumah kayu secara sederhana serta memupuk semangat kejiranan yang utuh.

“Sejarah kawasan ini turut mencatatkan peristiwa kebakaran pada tahun 2013 yang memusnahkan dua buah rumah lama. Namun, semangat kerjasama dan perpaduan penduduk telah mengelakkan tragedi yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan perancangan bandar yang lebih tersusun, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan ‘rumah ganti rumah’ dengan memindahkan penduduk ke rumah pangsa baharu di kawasan Macallum demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan jangka panjang.

Filem tersebut mengetengahkan naratif hubungan antara ayah dan anak yang mengusahakan gerai char kuey teow lama, sekali gus menampilkan pengorbanan tiga generasi serta mesej bahawa pembangunan tidak harus melupakan akar sejarah dan nilai kemanusiaan.

Turut dimuatkan ialah ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong sebagai tanda penghargaan serta harapan kepada seluruh rakyat negeri itu.

DAP Pulau Pinang berharap karya berkenaan menjadi penghormatan kepada komuniti yang pernah membina kehidupan di kawasan tersebut selain mengingatkan bahawa setiap pembangunan perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dan sejarah setempat.

Sementara itu DAP turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat, dengan harapan perayaan tersebut membawa kebahagiaan dan kemakmuran bersama keluarga tersayang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button