BERITA SEMASA

DAP gesa penempatan automatik pelajar 10A ke matrikulasi diteruskan

KUALA LUMPUR – Democratic Action Party (DAP) menggesa kerajaan meneruskan dasar penempatan automatik ke program matrikulasi bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan 10A ke atas.

anthony loke
ANTHONY LOKE

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara ketetapan utama yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti berkenaan yang diadakan semalam.

Menurutnya, dasar tersebut penting bagi memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya selaras dengan pencapaian akademik mereka.

“DAP menyeru kerajaan untuk meneruskan dasar penempatan automatik kepada pelajar yang memperoleh 10A ke atas ke dalam program matrikulasi.

“Pada masa sama, pelajar cemerlang lain juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya mengikut kapasiti sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa isu semasa termasuk krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan minyak negara selepas Mei ini.

Sehubungan itu, jelas beliau, semua pemimpin dan wakil rakyat DAP diarahkan untuk memberi penerangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi mengenai keperluan berjimat dalam penggunaan tenaga dan kenderaan.

Tambahnya, parti itu juga menyokong usaha berterusan kerajaan dalam mengurus krisis berkenaan secara menyeluruh demi memastikan kelangsungan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Selain itu, DAP turut mengarahkan wakil parti dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar mempercepatkan penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengasingan kuasa Peguam Negara untuk dibentangkan pada sidang Parlimen Jun depan.

Mengulas isu keselamatan jalan raya, beliau betkata, parti itu menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian.

“Tindakan keras tanpa pilih kasih perlu dilaksanakan bagi memberi mesej jelas kepada semua pemandu agar sentiasa bertanggungjawab demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button