Undi PAS masuk syurga: Mujahid gesa pihak berkuasa ambil tindakan
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan dakwaan bahawa mengundi PAS boleh membawa seseorang masuk syurga sebagai kenyataan yang tidak berasas dari sudut ilmu agama mahupun realiti politik.
Menurut beliau, syurga bukan ditentukan oleh sokongan terhadap mana-mana parti politik, sebaliknya hanya diperoleh dengan izin dan rahmat Allah SWT.
“Mencari rahmat Allah itulah yang perlu dikejar oleh setiap hamba-Nya. Bagaimana rahmat Allah yang begitu luas boleh disempitkan hanya dengan mengundi sebuah parti politik?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS yang didakwa mengaitkan undi kepada parti itu dengan jaminan masuk syurga.
Mujahid turut mempersoalkan sama ada tindakan sesetengah pihak yang melabel serta menuduh pihak lain dengan pelbagai gelaran negatif atas perbezaan politik boleh membawa kepada rahmat Allah.
Selain itu, beliau mendakwa budaya fitnah dan pembohongan dalam politik tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meraih sokongan rakyat atas nama agama.
“Saya menganggap dakwaan ‘undi PAS masuk syurga’ sebagai menjual syurga untuk kepentingan politik,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya jika kenyataan tersebut didapati menghina agama.
Menurutnya, sekiranya kenyataan itu tidak dimaksudkan seperti yang difahami umum, Setiausaha Agung PAS perlu tampil menjelaskan keadaan sebenar serta memohon maaf kepada ahli parti dan umat Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








