Fizie Roslan sedih lihat kemelut Shuib, minta orang ramai jangan libatkan keluarga
KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau mengheret ahli keluarga yang tidak bersalah dalam kemelut membabitkan pelawak Shuib, sebaliknya memberi ruang kepada pihak terlibat menyelesaikan perselisihan secara baik.
Penyampai radio THR Gegar, Fizie Roslan berkata, dia berasa sedih melihat situasi yang sedang dihadapi sahabatnya itu, apatah lagi selepas mengenali peribadi Shuib yang disifatkan sebagai seorang pemurah dan banyak membantu orang lain.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fizie menjelaskan bahawa luahannya bukan bertujuan memihak kepada sesiapa, sebaliknya lahir daripada hubungan persahabatan dan rasa kemanusiaan.
Menurutnya, dia mengetahui pelbagai kebaikan yang dilakukan Shuib di sebalik tabir, termasuk bantuan yang pernah dihulurkan kepada individu lain tanpa diketahui umum.
“Jujur aku cakap, aku kenal siapa Shuib. Aku kenal hati budi dia, betapa pemurahnya dia, dan berapa banyak tangan yang dia hulurkan untuk tolong orang lain di belakang kamera termasuk aku yang ramai orang tak tahu,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.
Fizie turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menilai seseorang hanya berdasarkan satu kesilapan sehingga melupakan segala kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Hal ini kerana, setiap individu tidak terlepas daripada ujian, manakala persahabatan juga boleh berdepan salah faham dan perselisihan yang perlu ditangani dengan matang.
Sehubungan itu, beliau berpandangan isu yang berlaku wajar diselesaikan oleh pihak berkaitan tanpa campur tangan pihak luar yang boleh memburukkan keadaan.
“Apa yang berlaku sekarang ni adalah urusan antara dia dengan kawan dia.
“Dalam persahabatan, biasalah ada pasang surutnya, ada kala kita diuji dengan salah faham. Biarlah mereka berdua yang selesaikan cara baik. Kita di luar ni, usah ditokok tambah cerita,” tambahnya.
Dalam masa sama, Fizie merayu agar isteri dan anak-anak pihak yang terlibat tidak dijadikan sasaran atau dikaitkan dengan pertikaian berkenaan kerana mereka tidak mempunyai kaitan dengan isu tersebut.
“Cuma, satu je yang meruntun hati aku… tolonglah, jangan heret ahli keluarga mereka yang tidak bersalah.
“Isteri, dan anak-anak kecil mereka tiada kaitan langsung dengan sengketa ini. Kasihanilah mereka,” katanya.
Mengakhiri perkongsian itu, Fizie mengajak masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan, terutama apabila berdepan konflik yang melibatkan individu lain.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menambah luka pihak yang sedang berdepan kesukaran, sebaliknya memilih untuk menyebarkan perkara baik dan mendoakan kesejahteraan semua pihak.
“Kalau kita tak mampu menjadi ubat yang menyembuhkan luka orang, sekurang-kurangnya janganlah kita jadi racun yang mematikan.
“Sebarkanlah kasih sayang, doakan yang baik-baik. Kerana di hujung cerita nanti, apa yang kita tinggalkan di dunia ini adalah doa dan kebaikan, bukan benci,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








