Bubblebee sudah bayar tunggakan KWSP selama 10 bulan, berbaki 14 bulan lagi – Shuib
KUALA LUMPUR – Syarikat minuman Bubblebee milik pelawak dan usahawan, Shuib dilaporkan sudah membuat pembayaran ansuran tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 10 bulan sejak Januari 2026, dengan baki bayaran untuk tempoh 14 bulan lagi.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, pembayaran secara ansuran itu masih diteruskan bagi menyelesaikan tunggakan caruman pekerja syarikat berkenaan.
Menerusi perkongsian video di TikTok, beliau turut mengakui kekhilafan yang berlaku dan memohon maaf berhubung isu tersebut.
“Saya ingin nyatakan tentang KWSP, di mana sekarang ini Alhamdulillah, Bubblebee telah pun membuat bayaran ansuran selama 10 bulan kepada KWSP bermula bulan Januari 2026.
“Insya-Allah akan berbaki lagi 14 bulan. Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah, selalu buat dosa, jadi saya mohon maaf, saya mohon maaf, saya mohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya.
Beliau turut memuat naik tangkap layar yang menunjukkan bukti pembayaran ansuran yang telah dibuat oleh syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Shuib merayu orang ramai supaya tidak memboikot perniagaan yang diusahakannya susulan kontroversi melibatkan dirinya dengan rakan pelawak, Jep Sepahtu.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan ketika ini menjadi sumber pendapatan keluarga, selain membantu beliau melunaskan hutang syarikat, termasuk tunggakan caruman KWSP Bubblebee.
Shuib turut meminta orang ramai menghentikan andaian, kecaman, makian dan fitnah yang bukan sahaja ditujukan kepadanya, malah turut melibatkan isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.
Beliau menjelaskan bahawa Sepah Penyet, Bubblebee, Nusantara Food dan Sambal Hitam merupakan perniagaan yang sah serta halal.
“Saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.
“Janganlah kerana marahkan saya, kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal.
“Saya anggap ini adalah ujian dan balasan atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan,” ujarnya.
Terdahulu, Shuib tampil memohon maaf kepada Jep susulan kenyataan berunsur sindiran yang dibuat ketika mengendalikan Dol’s Podcast.
Kontroversi itu tercetus selepas Jep pada 8 Oktober lalu berkongsi potongan klip podcast yang memaparkan Shuib dan Mamat meminta pandangan pelawak Azlee Senario mengenai isu pembahagian bayaran dalam kumpulan yang didakwa tidak adil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








