BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru lelaki ceroboh rumah di Taman LKNP, tinggal motosikal di lokasi

KUANTAN – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki menceroboh sebuah rumah di Taman LKNP, Bukit Setongkol, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah kira-kira pukul 11.55 malam.

“Suspek dipercayai memasuki kawasan kediaman berkenaan dengan memanjat pagar sebelum cuba melarikan beberapa barangan termasuk tangga aluminium dan wayar kabel.

“Bagaimanapun, tindakan suspek terbantut selepas disedari pemilik rumah, menyebabkan lelaki itu melarikan diri tanpa membawa barangan yang cuba dicuri.

“Suspek juga meninggalkan motosikal yang digunakan di hadapan rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian yang dilaporkan itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV)/.

“Pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menahan suspek.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa lima rumah di kawasan berkenaan menjadi sasaran pencerobohan antara pukul 12 tengah malam hingga 12.45 pagi.

Pihak polis juga mengingatkan penduduk setempat supaya meningkatkan kewaspadaan susulan dakwaan kejadian berkenaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button