Shuib akui khilaf, mohon maaf kepada Jep
KUALA LUMPUR – Selepas hampir 20 tahun menjalin persahabatan, pelawak Shuib tampil mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada Jep Sepahtu susulan kontroversi kenyataan berunsur sindiran yang tercetus menerusi sebuah podcast.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 42, menerusi video yang dimuat naik berkata, dia kesal dengan kekhilafan yang berlaku dan berharap segala perselisihan antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.
Menurutnya, hubungan yang dibina bersama Jep atau nama sebenarnya Mohd Nazri Zainal Abidin menyimpan pelbagai kenangan, termasuk pengalaman mengharungi kesusahan dan meraikan kejayaan sepanjang perjalanan mereka dalam industri hiburan.
“Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang kita bina selama ini. Susah senang kita pernah lalui, kejayaan yang kita capai, semuanya akan aku simpan sebagai kenangan paling indah dalam hidup aku.
“Aku minta maaf atas kekhilafan aku dan keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya dan aku doakan kau, isteri, anak-anak serta keluarga kau.
“Semoga Allah mudahkan segala urusan dan menguruskan permasalahan kita dengan baik. Aku minta maaf, Mohd Nazri Zainal Abidin,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Sepah The Movie berkenaan mendedahkan dia sudah menghubungi Jep menerusi WhatsApp untuk menyampaikan permohonan maaf secara peribadi, kurang 24 jam selepas rakannya itu membuat hantaran di Instagram pada 8 Oktober lalu.
Langkah itu diambil susulan kenyataan yang didakwa menyindir Jep ketika Shuib bersama Mamat dalam Dols Podcast, menerusi episod yang turut menampilkan pelawak Azlee Senario.
Shuib turut berharap permohonan maafnya dapat diterima, selain mengakui berulang kali menyatakan kekesalan terhadap perkara yang berlaku.
“Saya kira dia terima dan mungkin membaca. Saya penuh kesal dan memohon maaf berulang kali.
“Saya anggap ini ujian dan balasan atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” jelasnya.
Selain Jep, Shuib turut memohon maaf kepada orang ramai yang tersinggung dengan kenyataannya dalam podcast tersebut.
Dia berkata, dirinya menerima segala kecaman yang dilemparkan, selain memaafkan individu yang mengecam, menghina atau memfitnah dirinya, isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.
Terdahulu, Jep menerusi satu hantaran di Instagram mendakwa Shuib dan Mamat mengeluarkan kenyataan berunsur sindiran terhadapnya ketika mereka masih bersama dalam kumpulan Sepah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






