HIBURAN

Jep Sepahtu ucap selamat tinggal selepas 10 tahun di Sinar FM

KUALA LUMPUR – Pelawak dan penyampai radio terkenal, Jep Sepahtu mengumumkan hari terakhirnya di Sinar FM selepas hampir sedekad menabur bakti sebagai penyampai radio, sekali gus menandakan penutup satu fasa penting dalam perjalanan kerjayanya.

Perkara itu dikongsikan Jep menerusi satu hantaran di Instagram yang menyentuh emosi, apabila beliau meluahkan rasa syukur atas peluang dan rezeki yang dikurniakan sepanjang 10 tahun bersama stesen radio berkenaan.

“Hari Jumaat terakhir aku di sini. Alhamdulillah izin Allah 10 tahun tumpang cari rezeki kat sini.

“Dari bujang, kahwin, sampailah dah ada anak. Terima kasih @sinar_my untuk jasa yang tak terbalas,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Jep turut menzahirkan penghargaan khas kepada bekas majikannya, Shidah Khasim yang disifatkan bukan sekadar bos, malah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Jep Sepahtu
Aksi Jep Sepahtu (dua dari kanan) ketika mengendalikan segmen di radio Sinar FM bersama rakan penyampai, Rahim dan Shuib pada awal kemunculannya sebagai deejay. – Foto Sinar FM

“Ini ex boss aku, aku anggap dia macam akak aku sendiri sebab hormat aku lebih tinggi dari jawatan dia. Terima kasih @shidahkhasim untuk segala kebaikan kau buat aku. Sampai jumpa lagi,” katanya.

Pengumuman tersebut turut menerima pelbagai reaksi dan ucapan sokongan daripada rakan-rakan selebriti serta penyampai radio.

Antaranya, Radin Era yang menulis: “Alamakkkkk Capt!!! Tak bergoodbye kita tadi. Terus maju Capt. Lepak bistro roger.”

Pelakon dan pengacara, Roy Azman, turut menitipkan doa.

“All the best to you Jep. Moga kau sentiasa success dalam apa jua yang kau lakukan. Amin.”

“Semoga maju jaya Jep,” tulis penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar.

Setakat ini, Jep belum mendedahkan perancangan seterusnya selepas meninggalkan Sinar FM, namun pengumuman tersebut jelas menandakan satu lembaran baharu dalam perjalanan kerjaya seni beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button