BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pelawak Turkiye ditahan selepas jenaka hina Islam, Erdogan

ISTANBUL – Seorang pelawak terkenal Turkiye ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Istanbul selepas didakwa menghina nilai agama Islam dan Presiden, Recep Tayyip Erdogan menerusi persembahan komedi yang dimuat naik ke YouTube.

Deniz Göktaş, 32, ditahan pada Khamis dan kini berdepan beberapa siasatan, termasuk atas dakwaan ‘menghina nilai agama secara terbuka’ serta menghina presiden, yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Artikel 299 Kanun Keseksaan Turkiye.

Rakaman persembahan berdurasi 90 minit yang disiarkan pada 24 Jun lalu itu sudah ditonton hampir sembilan juta kali di YouTube.

Dalam persembahan berkenaan, Göktaş menyindir perkembangan politik di Turkiye dan membuat jenaka terhadap pelbagai pihak, termasuk Erdogan serta musuh politik utamanya, Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang dipenjarakan tahun lalu sehingga mencetuskan protes besar-besaran.

Antara jenaka yang mencetuskan kontroversi ialah apabila beliau membuat sindiran mengenai kitab suci Al-Quran sebelum menggelar Erdogan sebagai seorang ‘diktator’.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum menjelaskan bahagian mana dalam persembahan itu yang menjadi asas kepada siasatan kerana menghina presiden.

Pejabat Pendakwa Raya Istanbul memaklumkan pihaknya menerima 185 aduan berhubung persembahan tersebut sebelum melancarkan siasatan terhadap pelawak berkenaan.

Sebelum penahanannya, beberapa klip pendek persembahan Göktaş di platform media sosial X turut disekat di Turkiye atas alasan melibatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Göktaş yang ketika itu sedang bercuti di luar negara pulang ke Turkiye pada Khamis walaupun mengetahui beliau akan ditahan sebaik tiba.

Media tempatan melaporkan Göktaş, yang berasal dari Ankara, memulakan kerjaya sebagai pelawak pentas di kelab komedi TuzBiber di Istanbul pada 2019 sebelum mengadakan persembahan di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Penahanan Göktaş berlaku ketika kerajaan Turkiye dilihat memperhebat tindakan terhadap individu yang mengkritik kerajaan berhaluan Islam konservatif itu, termasuk pemuzik, artis, wartawan dan ahli politik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button