POLITIK

DAP gesa RCI siasat dakwaan ‘mafia korporat’, pertahan kredibiliti SPRM

KUALA LUMPUR – Democratic Action Party (DAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh dakwaan kewujudan “mafia korporat” serta tuduhan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan oleh pihak tertentu untuk mencapai kepentingan peribadi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti berkenaan yang diadakan semalam.

Menurutnya, dakwaan yang dilaporkan sebuah media asing itu perlu ditangani secara berkesan bagi mempertahankan kewibawaan SPRM sebagai institusi penguat kuasa.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan RCI untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut serta mencadangkan langkah bagi mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa dalam institusi itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Sehubungan itu, kerajaan digesa membentangkan semula RUU berkenaan pada sidang Parlimen akan datang bagi merealisasikan agenda reformasi institusi yang penting,” katanya lagi.

Pada masa sama, DAP menyokong keputusan kerajaan merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Wakil DAP dalam jawatankuasa tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik aspek akauntabiliti serta ketelusan dalam proses pelantikan jawatan berkenaan.

“DAP terus komited mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Pada masa sama, parti menyokong sepenuhnya usaha memerangi rasuah demi memastikan tadbir urus negara yang lebih telus dan berintegriti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button