Malaysia Tribune terima sijil penghargaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
KUALA LUMPUR – Portal berita, Malaysia Tribune menerima sijil penghargaan bagi menghargai sumbangan dalam melaporkan kejayaan-kejayaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Penghargaan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim sempena Majlis Apresiasi Media NRES 2025 yang diadakan di Hotel Aloft Kuala Lumpur semalam.
Thoo Kim berkata, media memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesedaran awam mengenai isu alam sekitar, perubahan iklim, pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli secara lestari.
“Media bukan sekadar penyampai berita, tetapi merupakan rakan strategik kerajaan dalam membentuk sikap dan kefahaman masyarakat terhadap agenda kelestarian negara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Ketua-ketua Jabatan dan agensi di bawah NRES serta lebih 200 wakil media dari pelbagai agensi berita, penyiaran dan penerbitan.
Menurut Thoo Kim, majlis berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik antara NRES dan rakan media yang sentiasa memberi liputan seimbang terhadap inisiatif kementerian termasuk Kempen Penghijauan Malaysia – Pokok Kita, Kehidupan Kita yang telah mencapai kejayaan dengan lebih 128 juta pokok ditanam di seluruh negara.
Katanya, antara program utama lain yang turut mendapat liputan luas ialah Program Restorasi Ekosistem Bakau dan Paya Laut, serta sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 bertemakan Planet Lestari, Tanggungjawab Bersama.
Beliau turut menekankan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui penganjuran Mesyuarat ke-36 ASEAN Senior Officials on Environment (ASOEN) dan Mesyuarat ke-18 ASEAN Ministerial Meeting on the Environment (AMME) yang memberi tumpuan kepada isu perubahan iklim, biodiversiti, pengurusan bahan kimia dan sisa serta ekonomi hijau.
Beliau menegaskan, NRES akan terus komited memperkukuh agenda kelestarian alam pada tahun-tahun mendatang, selain menyeru agar media kekal menjadi jambatan penting antara kementerian dan rakyat.
“Kami berharap media dapat terus membantu menyebarluaskan mesej penjagaan alam sekitar serta membudayakan amalan lestari dalam kalangan masyarakat.
“Dengan tagline ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’, kita mampu membentuk Malaysia yang bersih dan lestari untuk generasi masa depan,” ujarnya.
Majlis Apresiasi Media NRES 2025 menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar media dalam memperkasa mesej kelestarian alam sekitar di peringkat nasional dan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








