RUU Pembaharuan Semula Bandar: KPKT anjur lawatan tapak bersama Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang
KUALA LUMPUR – Lawatan kajian khas bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melibatkan Ahli-ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jemputan rasmi telah dihantar kepada semua wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang bagi menyertai lawatan yang dijadualkan berlangsung pada 29 April ini.
“Saya ingin menjemput semua ahli Parlimen untuk bersama-sama melawat kawasan bandar yang daif bersama KPKT serta melihat sendiri kejayaan projek pembaharuan semula yang telah dijalankan.
“Lawatan kerja ini akan melibatkan tinjauan ke beberapa flat uzur bagi menilai keadaan sebenar yang dialami penduduk serta mengenal pasti isu setempat.
“Ahli Parlimen juga berpeluang meninjau kejayaan pembaharuan semula di kawasan tertentu di mana flat lama telah dibangunkan semula menjadi kediaman moden, selesa dan berdaya huni,” katanya lagi.
Tambah beliau, lawatan berkenaan diharap dapat membuka mata semua pihak mengenai potensi besar RUU PSB dalam memperbaiki kawasan perumahan daif dan tidak selamat serta secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat.
RUU tersebut dirangka bagi mempercepatkan proses pembaharuan semula serta pemuliharaan kawasan bandar, terutama melibatkan bangunan lama yang tidak lagi selamat diduduki.
“Ia khusus bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami. Maka, kami tekankan keperluan mendesak untuk penggubalan undang-undang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan RUU berkenaan dalam sesi Parlimen pada Julai akan datang.
Kor Ming memaklumkan bahawa RUU PSB telah melalui proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya dibentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Mac lalu.
Sebagai langkah meningkatkan kefahaman serta sokongan terhadap RUU tersebut, beliau turut mengumumkan penganjuran satu lawatan kajian khas di ibu negara yang melibatkan semua ahli Parlimen.
Sebagai sokongan logistik, pihak kementerian turut menyediakan tiga buah bas dari Parlimen bagi membawa wakil-wakil rakyat meninjau beberapa flat kos rendah yang memerlukan perhatian segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








