141 kes buang sampah diluluskan untuk pendakwaan – SWCorp
KUALA LUMPUR – Sebanyak 141 kes kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 telah diluluskan untuk pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya setakat semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 46 kes telah memperoleh tarikh sebutan di mahkamah.
“Setakat ini, tiga kes telah selesai dibicarakan dan hukuman telah dijatuhkan oleh mahkamah,” memetik NST online.
Menurut beliau, bagi kesalahan membuang sampah, mahkamah boleh mengenakan denda sehingga RM2,000 atau Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam, tertakluk kepada fakta kes serta budi bicara mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid memaklumkan sebanyak 600 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan individu yang didapati melakukan perbuatan tersebut, dengan 462 daripadanya adalah warganegara tempatan manakala 138 warga asing.
“Tindakan penguatkuasaan itu membuktikan tiada amalan pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang berkenaan.
“Sesiapa sahaja yang berada di Malaysia dan melakukan kesalahan membuang sampah, berdasarkan pemerhatian pihak penguat kuasa, akan diambil tindakan,” katanya lagi.
Beliau berkata, SWCorp bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan di negeri-negeri yang telah menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Perlis dan Pahang.
Menurutnya, pengurusan sisa pepejal di negeri lain masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
“Mengenai peluasan pelaksanaan akta ini, perkara tersebut masih dalam peringkat penyelarasan dan beberapa negeri telah menetapkan tarikh untuk menguatkuasakannya,” katanya lagi.
Khalid berkata, pegawai SWCorp menjalankan rondaan secara berpakaian biasa pada bila-bila masa selain merakam perbuatan pesalah sebelum tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kor Ming memaklumkan semua pesalah yang disabitkan kesalahan membuang sampah oleh mahkamah akan melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat secara serentak pada 13 Februari ini.
Beliau berkata, hukuman tersebut melibatkan aktiviti membersihkan longkang, menyapu jalan serta mencuci tandas awam selaras dengan perintah mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








