
KPKT umum peruntukan tertinggi Jabatan Bomba
TAMBUN – Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM267 juta bagi perolehan aset dan juga projek bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif Memperkukuh Kesiapsiagaan Kebombaan dan Penyelamatan Yang Sejahtera itu merupakan salah satu daripada lapan fokus utama KPKT untuk tahun ini.
Katanya, jumlah tersebut juga merupakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah JBPM.
“Melalui peruntukan itu, JBPM akan memperkasakan keupayaan logistik melalui perolehan 150 buah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang bersaiz kompak dengan kos berjumlah RM147.25 juta dan akan ditempatkan secara strategik di Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara secara berfasa.
“Kita juga akan memperkukuhkan program pencegahan kebakaran melalui pemeriksaan bangunan rumah yang berusia dan bagi tahun 2024 Kementerian mensasarkan sejumlah 17,000 bangunan daripada pelbagai kumpulan kegunaan untuk diperiksa.
“Ini merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan tahap ketersediaan sistem pemasangan keselamatan kebakaran di bangunan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Tambun.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Seterusnya, Kor Ming berkata, KPKT juga bersedia untuk meningkatkan efisiensi pengoperasian kebombaan dalam aspek pengurusan air dengan meningkatkan pemeriksaan ke atas 357,130 unit pili bomba awam di seluruh negara.
“Selain itu kami juga akan memperkukuhkan sistem kawal dan perintah inisiden dan mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan serta mengoptimumkan data raya melalui pembangunan projek rintis Command, Control, Commmunication, Computerized and Inteligence yang telah dilaksanakan mulai pada 1 Mac 2024 dan dijangka selesai pada Februari 2026 dengan kos RM47.74 juta ringgit,”katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








