RM3 juta untuk naik taraf landskap KLIA
SEPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN) memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek pembangunan landskap hijau dan lestari di kawasan strategik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek tersebut melibatkan kerja pembangunan landskap di kawasan utama Terminal 1 dan Terminal 2 termasuk ruang ketibaan, pelepasan dan laluan utama keluar KLIA.
“Konsep utama yang diketengahkan ialah ‘Harmony in Diversity’. Ia menekankan keharmonian dan perpaduan sebagai elemen utama sejajar dengan identiti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, seni bina, landskap, bahasa dan tradisi,” katanya pada sidang media pelancaran projek tersebut di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Anifah Atirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad.
Nga menjelaskan, reka bentuk landskap itu dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan dalaman Arkitek Landskap JLN bagi memberi impak visual yang segar dan mesra kepada pelawat antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan Malaysia telah menerima lebih 10.1 juta pelancong antarabangsa setakat suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi Thailand sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara.
Projek landskap itu dijangka menyumbang kepada keselesaan dan pengalaman visual yang menarik buat pelancong serta delegasi luar negara.
Tempoh pelaksanaan projek adalah selama enam bulan manakala kerja penyelenggaraan akan diteruskan sehingga Disember 2026 sebelum diserahkan kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Projek itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ruang awam yang lebih selesa dan berdaya huni seiring aspirasi Malaysia Madani,” kata Nga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








