BERITA SEMASA

Jangan benarkan ekstremis rosakkan keharmonian negara – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak membenarkan golongan ekstremis merosakkan keharmonian dan perpaduan yang telah dibina sekian lama dalam masyarakat berbilang kaum.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kepelbagaian kaum dan budaya merupakan kekuatan negara yang perlu diraikan, bukannya dijadikan punca perpecahan.

Menurutnya, semangat saling menyayangi dan menghormati antara rakyat pelbagai kaum perlu terus dipupuk bagi memastikan kestabilan serta keharmonian negara kekal terpelihara.

“Sebab itu kita jangan benarkan pihak geng-geng, puak-puak ekstremis yang cuba merosakkan keharmonian, perpaduan yang sekian lama, silaturahim yang sekian lama kita jalin bersama sebagai sebuah keluarga anak Malaysia yang saling hormat-menghormati, saling sayang-menyayangi,” katanya ketika ditemui selepas satu program di Kuala Lumpur, hari ini.

Kor Ming berkata, rakyat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan Orang Asli merupakan satu keluarga yang perlu terus hidup dalam suasana saling menghormati.

“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan Orang Asli, kita adalah satu keluarga. Kita adalah sanak saudara,” katanya lagi.

Menurutnya, kestabilan negara, perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan antara kunci kejayaan Malaysia.

“Kita harus meraikan kepelbagaian sebagai satu keistimewaan, kelebihan dan kekuatan negara kita,” katanya lagi.

Kor Ming turur berkata, semangat cintakan negara tidak seharusnya hanya disuburkan ketika bulan kemerdekaan, sebaliknya perlu menjadi amalan rakyat sepanjang masa.

“We have one dream, one nation and one mission, because that is one Malaysian. Semangat kemalaysiaan itu wajib kita pupuk dan galakkan 24 jam setiap hari,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru semua rakyat memainkan peranan dalam memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan serta tidak berputus asa dalam menghadapi sebarang cabaran.

Memetik kata-kata mendiang Dr Martin Luther King, Nga berkata, kecintaan terhadap negara perlu diterjemahkan menerusi usaha berterusan untuk memastikan Malaysia terus maju.

“When you love this country, make sure that if you cannot fly, you run. If you cannot run, you walk. If you cannot walk, you crawl.

“But make sure that let us keep moving forward, keep moving forward and never, never give up because we love Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button